Posted by: kelantaniah | November 16, 2009

Sang lelaki dan puaka

Oleh Mohd. Hashim Osman

DAMAI pagi tiba-tiba tergugah. Kemunculannya di muka desa selepas sedekad, menyumbat kejutan setempat. “Di… dia balik …di…di… dia balik!” laung seorang teruna gagap lewat empat puluhan menyentap bualan pagi di warung pangkal simpang.

Dari jauh, dari arah Bukit Rimba, dengan suluhan sinar pagi yang cerah, kelihatan kepalanya berbalut, tangan kiri beranduh, ketiak kanan bertopang dengan kaki yang rengkot, mengheret kepayahan diri. Dia dipapah terus ke laman rumah Sidang Jumari. Simpati terbelit dalam jemala kumpulan lelaki yang mengiringi.

“Kamu?”

“Saya pulang…” suara sebaknya terputus, menguis hening yang menyambut sejenak sapaan Sidang Jumari. Sidang Jumari menuruni tangga lantas memaut tubuh kurus bekas anak buahnya. Lama dakapan itu. Mendakap sesalan.

Sekilas, dia terpandang lelaki yang berdiri di tangga masjid sebelah timur rumah Sidang Jumari.

“Tinggallah saja di sini anakku. Kamu lebih diperlukan di sini, membantu rakan-rakan mempertahankan Desa Lembah ini. Memperjuangkan masa depan desa ini. Kamu pemuda paling dihormati, paling berwibawa dalam kalangan rakan-rakanmu…”

“Maafkan saya Pak Guru. Sudah bulat tekad saya. Di situ, ada sinar saya nampak menyuluh masa depan; terasa ada makna kehidupan menunggu. Terpeta di mata hati saya di Bukit Rimba ada kejayaan untuk saya teroka. Ada kebahagiaan menanti”. Lelaki yang baru pulang teringat kalimat-kalimat akhir yang diucapkan kepada Pak Guru. Membidas rasa kebersalahan yang bergayut

Tanpa bertangguh dia terdengkot-

dengkot menghambat bekas Pak Gurunya yang masih berdiri di tangga masjid. Sidang Jumari dan yang lain-lain menyongsong. Si teruna gagap lantas meluru mendahului. Tersengih-sengih

“Pak Guru… saya pulang!”. Pak Guru, ditenung legat lelaki yang menyerah diri itu. Sepuluh tahun, sudah banyak yang terhakis dari wajah bekas anak kesayangannya itu. Pak Guru tersenyum. Turun, lalu memeluk lelaki yang pulang itu. Lelaki yang pernah diharapkan mengimarahkan ilmu, menghidupkan semangat masjid Desa Lembah.

“Akhirnya kamu pulang, anakku.” Rindu dan mesra memaut lama dakapan Pak Guru. Kasih meresap ke dada lelaki yang pulang. Si teruna gagap mengangguk-angguk. Tersengih-sengih. Seperti lelaki-lelaki lain.

Di sebalik kehijauan flora yang tampak damai, tersembunyi cengkaman ganas. Pergolakan merampas jernih embun yang tak pernah sempat kering di hujung rumput dan daun. Sepuluh musim bermukim, kebejatan menimbus keluhuran. Keluhuran yang diharap menambah kebahagiaan.

“Kamu belum terlambat, Rawana.” Erat genggaman salam bagai tak terlepas. Satu dekad berpisah tiada sejengkal pun dirasai kejanggalan.

“Be…be…be…betul Pak Guru,” pintas si gagap.

“Ya, banyak tugas yang perlu kita lakukan di sini. Cekauan bahana dari di bukit tu, perlu kita sekat,” kesal Sidang Jumari menarik seluruh pandang.

“Be…be..be..betul Sidang,” angguk si gagap, pantas mendahului.

Terasa kini olehnya betapa tenatnya wajah lereng-lereng Bukit Rimba setelah berada jauh di lembah ini. Hanya terasa, setelah bukit pujaannya dulu, menjadi bukit kebenciannya kini. Betapa hodohnya kini, Bukit Rimba yang menggamit jiwa mudanya dahulu. Kehodohan dan ketenatan itu tidak pernah difikirkan sepanjang merencana untuk berkelana usia di situ. Sebak menyendat dada, dendam menyondak jiwa, rancangan terangka di kepala.

Bertahan

“Kita kena bangun. Kita tidak boleh bertahan selamanya Pak Guru, Sidang Jumari. Kita tidak boleh bertahan lagi teman-temanku sekalian. Kita kena bangun bertindak! Bangun menentang” Wajahnya ditepati seluruh mata. Rawana menggetap bibir, gerahamnya berkeriut dan tangannya mengepal rencana.

“Be…be…be…betul R…r…r..r…awana,” si gagap mengangguk laju.

“Menentang? Apa yang nak ditentang?” entah suara siapa yang mencelus.

“Ya, kita tentang. Makhluk yang kita tentang kini bukan sekadar ular, musang, dan kera. Bukan! Yang kita hadapi kini lebih rakus, lebih haloba daripada semua haiwan itu!”

“Apa maksud kau, Rawana? Apa yang kau tahu?” Pak Guru memegang kedua-dua bahu lelaki lewat empat puluhan itu sambil menjunam mata ke kedua-dua mata anak muridnya.

Dari serambi rumah kutai Sidang Jumari, pentas suara Rawana berpindah dari satu rumah ke satu rumah. Dengan jumlah hadirin yang mendadak. Medannya semakin sempit. Dari laman rumah berpindah ke laman masjid dan berpindah ke padang. Turun naik intonasi suaranya memukau tumpuan.

Rawana terus bercerita dan bercerita. Tentang Bukit Rimba yang penuh onar. Tentang Bukit Rimba punca datang segala petaka.

Dan puncak cerita Rawana yang ditunggu-tunggu, menutup memoir peribadi, sudah pasti tentang pertarungan ngerinya, yang mendesak langkahnya kembali ke desa.

“Bukan sembarangan puaka-puaka itu!”

Cerita Rawana memukau perhatian yang menadah sebulat-bulatnya.

“Puaka-puaka itu ibu segala bahana. Jelmaan roh-roh jahat yang berkurun bertunjang di puncak Bukit Rimba. Hingga menggugat rukun hidup Bukit Rimba, semua dirakus.”

“Be…be…be… betul R..r…r…r…awana !”

Belakangan ini, kata Rawana, hampir semua hidupan yang layak dimangsainya cabut meninggalkan bukit. Kerakusan puaka-puaka sialan itu sudah di luar kawalan. Kelaparan mendesak untuk dirungkai. Apa sahaja dilahapnya.

Di lapangan khalayak, suara Rawana memukau. Tua muda, lelaki perempuan mata tak berkejip walau sekelip. Mulut terpasung. Longo.

“Terbatas di rimba, bejatnya menyusuri lembah. Sudah tentunya Desa Lembah ini, ya… desa ini yang paling hampir jadi lokasi ganasnya. Dan kalian sendiri sudah melihat bahana yang dibawanya.”

Mata-mata terfana dengan kehebatan Rawana yang diceritakannya sendiri.

“Usaha menghalang bahana puaka itu hanya membawa padah kepada diri sendiri. Dua minggu saya terlantar cedera. Dalam terlantar itu saya terfikir betapa keganasan dan keserakahan puaka-puaka bukit itu perlu dihalang…” suara Rawana terhenti seketika. Kening sebelah kanannya terangkat.

“…demi kebahagiaan, demi ketenteraman desa tercinta ini, saya kembali untuk berjuang bersama bapa-bapa, ibu-ibu serta saudara-saudari yang amat saya sanjungi.”

“Ya! Kita berjuang! Kita tentang puaka-puaka durjana itu! Allahu Akbar!”

Laungan takbir terlontar ke langit, menyambut penutup ceramah. Sana sini orang bercakap tentang Rawana dan puaka. Melampaui batas mukim, menjejak hujung daerah, perihal Rawana dan cerita puakanya memikat perhatian.

Kebun, ladang dan ternakan sudah tidak penting lagi. Suara juang Rawana adalah segala-galanya. Duduk sejam menadah bicara lelaki hebat itu lebih bermakna daripada sehari duduk menghadap kebun, ladang dan ternak.

Seruan

Hanya beberapa bulan, seruan Rawana lelaki yang pulang itu menyimpul perhatian. Genggaman demi genggaman menerjah ke udara menyahut tuntutan perjuangan. Sebulat sekata, kesepakatan dilaungkan – Puaka Bukit Rimba mesti dilupuskan.

Suara Rawana berpusar merantai semangat perjalanan. Si teruna gagap tidak lepas jauh daripadanya. Sekejap ke depan, sekejap di belakang, sekejap di kiri, sekejap di kanan. Bertingkah dengan deruman jentolak dan jengkaut yang turut sama dipacu mengiringi. Belum sempat keringat di dahi mencecah kaki, gerombolan pemburu dari Deasa Lembah sederap langkah menjejak kaki bukit. Dengan ampuh, tanpa ada lagi topang kayu di ketiak dan rengkot yang sudah pulih, Rawana laung ulangkan tujuan kehadiran mereka di situ.

Tugasan bermula. Sebatang demi sebatang meranti, cengal, beringin yang bertunjang ratusan tahun terbungkang menyembah bumi disambut sorakan.

Satu demi satu jerumun, rumpun dan belukar ranap rapat. Menjelang petang asap berkepul kala lidah api menjilat rumpun dan daun dan jangkar kayu yang tewas. Hampir seminggu, cerun bukit rimba sebelah selatan menghadap desa tampak perang kekuningan. Bara masih enggan berhenti memerun sisa kayu dan tunggul.

Belum ada kelibat seekor puaka pun ditemui, apatah lagi untuk ditewaskan. Rawana terus memalu semangat. Kebangkitan penghuni desa tidak harus dibiarkan kelu dan mati. Perburuan tidak harus dibiarkan bertangguh. Perjuangan baru separuh perjalanan.

“Teruskan saudara saudari. Musuh kita makin terhimpit. Mereka tak mungkin dapat melepaskan diri lagi. Biar gondol habis Bukit Rimba ini, puaka-puaka itu mesti kita hapuskan seluruhnya,” suara Rawana bertingkah dengan jeritan monyet, ungka, siamang, dan segala haiwan yang bersisa bertempiar mencari perlindungan baru. Berlindung daripada petaka yang meluru dari lembah.

“Tidak lama lagi, perburuan kita selesai. Puaka-puaka itu semakin terkepung,” di tangga masjid, Pak Guru berdiri tersenyum sambil mengangguk-angguk. “Ya… puaka pembawa bahana itu semakin terkepung, semakin terdesak dan pastinya terperangkap! Ya, puaka itu pasti tewas!” Pak Guru puas hati.

Kerja-kerja perburuan perlu berjalan lancar, meskipun dia tidak menyertai penghuni-penghuni lain. Rawana memintanya mengawasi desa. Bertindak kalau ada yang kecut berundur pulang.

Pak Guru mengalih pandang ke lelaki sebaya yang masih duduk di tepi pintu utama. Kata-katanya tadi sengaja diujar untuk didengar, menggiat temannya itu yang asyik menggentel tasbih. Sejak awal kepulangan Rawana lagi, Pak Guru menyedari lelaki sahabatnya itu tidak pernah bersedia untuk duduk di hadapan Rawana, apatah lagi untuk menadah suara lelaki berkarisma itu. Tidak pernah.

Sejenak sahabat yang dikenali sebagai Pak ‘Abid melangkah berdiri di sisi Pak Guru. Merenung jauh cerung bukit yang gondol dan licin.

“Kita belum pasti, sahabat,” getar suara Pak ‘Abid meningkah.

“Belum pasti?” Pak Guru mencerlung ke wajah lelaki di sebelahnya. Kerut di dahi menjelas ketidakpuasan hatinya. Sudah lama Pak Guru ini tidak berbicara dengan sahabat yang seorang itu. Sahabat yang tidak pernah tercuit hati menerima pujukan untuk mendengar bicara Rawana.

“Ya, kita belum pasti. Sama ada puaka-puaka itu yang terkepung dan terdesak atau…”

“Atau apa, sahabat?” suara Pak Guru meninggi.

“Atau kita ini yang kian terperangkap!” sejenak Pak ‘Abid melempar pandang ke lereng bukit yang makin redup di suluh cahaya petang. Pak Guru terkebil-kebil seketika, merenung tepat wajah sahabat sepengajiannya dulu, menagih kesimpulan.

“Apa maksud sahabat?”

“Angin tengkujuh tak beberapa hari lagi. Hujan akan berhari-hari lebatnya. Apakah sahabat tidak terfikir nasib lereng bukit yang tiada sebatang pohon dan serumpun jerumun untuk dijadikan benteng daripada terjahan arus hujan? Apakah sahabat tidak terfikir nasib kita dan desa ini selepas rebakan bukit itu dibawa arus hujan menuju ke lembah ini?”

Kecacatan yang mengheret sial keluarganya memencil di gua sebelahan jurang sebelah barat bukit rimba, tidak memampukannya untuk bangun menuntut keadilan. Sejak lelaki khianat dibawa bapa dalam keadaan malang ke gua itu, hati Sita sudah diterpa sangsi. Apakan daya, tiada sepatah kata yang mampu melolos dari bibirnya untuk difahami bapa dan ibu.

“Lelaki ini terjatuh dari pokok cemara. Dahan tempatnya berpijak sekah, semasa tangannya mahu menggapai serindit emas di hujung dahan yang sekian lama diburunya,” ujar bapa yang cuma mampu difahami telinga dan fikirnya. Ibu mengangguk taat dalam limpah cahaya jamung di dinding.

Serindit emas! Satu-satunya yang masih ada di rimba bukit ini. Siulannya bagai mentera yang menyihir telinga pendengarnya. Memang selalu dia mendengar siulan serindit emas itu. Bapa pernah berkata, sesiapa yang dapat menangkap serindit emas itu, akan kaya rayalah hidupnya. Dia tidak faham apa kaitan antara serindit emas dengan kaya raya, seperti yang dikatakan bapa.

Rawat

“Kakinya patah, kepalanya luka. Kita rawat hingga sembuh.” Begitulah sikap bapa yang baik hati. Sejarah tersingkirnya mereka tiga beranak dari perdesaan kaumnya, adalah berpunca daripada sikap bapa yang terlalu baik dan banyak beralah itu. . Tohmahan dan tuduhan sial akan kelahiran Sita ke muka bumi tidak mampu ditepis bapa dan ibu, lalu menuntut keluarganya membawa diri.

Mata Sita tidak pernah menipu untuk menjadi saksi. Akalnya tidak pernah lupa untuk membaca

Tak sangka lelaki yang dirawat bapa dan ibu selama dua minggu tanpa jemu, bertindak menghukum. Bertindak ganas hanya untuk menutup cerita kegagalannya menggapai serindit emas di dahan cemara. Untuk menutup cerita cederanya kerana jatuh sewaktu menggapai serindit emas di hujung dahan. Itulah yang terluah dari mulut lelaki itu ketika nyawa bapa hampir ternoktah, setelah ibu dilihatnya terkulai di sisi.

Lelaki durjana itu, kemudian mengkebumikan kedua-dua tubuh bapa dan ibu ke dalam lubang yang rupa-rupanya digali sepanjang malam ketika mereka anak-beranak lena beradu. Dia tak mampu melakukan apa-apa. Kedua-dua tangan yang kudung atas paras siku, kedua-dua kaki yang kaku sejak lahir hanya mengizinkannya jadi saksi tragedi. Hanya mengizinkan matanya menyaksikan lelaki khianat melangkah pergi membawa dosa.

Lolongan terakhir Sita pada tengah malam itu tenggelam dalam hujan yang amat lebat yang turun sejak petang. Serentak lolongan terakhir itu, dirusuk timur Bukit Rimba yang tergondol, lereng tanah lapang menghala ke Desa Lembah, satu petaka besar meluru deras likat lumpur perang berbaur hitam menuruni cerun bersama arus hujan yang tidak lagi bersimpati.

 

Petikan dari : http://www.utusan.com.my

Posted by: kelantaniah | November 15, 2009

Dongeng gagak sarang bangau

Gak! Gak! Gak!

Gagak hitam itu kepingin benar mahu mendiami sarang bangau putih itu. Sarang putih yang tersergam agam di atas sebuah bukit yang nyaman menjadi idaman setiap unggas di daerah itu. Bukan semua unggas pula yang layak menduduki sarang yang berwarna serba putih itu. Penghuninya mestilah pula sama warnanya dengan warna sarang itu. Warna putih itu sudah cukup membuktikan bahawa yang putih tidak boleh disamakan dengan yang hitam. Ia menjadi lambang perbezaan di antara yang putih dengan yang hitam.

Sarang itu dibina di atas sebatang pokok di atas sebuah bukit di sebuah ladang jagung dan gandum seluas 100,500 hektar. Bukit itu terletak di tengah-tengah ladang itu dan kelihatan bagaikan sebuah pulau. Dari atas bukit itu jelas kelihatan panorama ladang yang indah menghijau di bawahnya. Ada sebuah menara setinggi tujuh tingkat dibina di sisi sarang putih itu. Menara itu dilengkapi dengan sebuah teropong besar berpusing yang boleh melihat sekeliling ladang itu. Menara itu ialah menara tinjau untuk memantau serta memerhati kuli-kuli ladang itu sama ada ponteng atau mencuri tulang.

Sudah lebih 200 tahun sarang putih itu didiamai oleh unggas yang berbulu putih. Silih berganti penghuninya tetap juga mengekalkan tradisi bahawa ia mestilah sama warnanya dengan sarang itu. Bukan itu sahaja, malah mandur-mandur dan penyelia-penyelia ladang itu pun disyaratkan hanya unggas yang berbulu putih sahaja yang layak memegang jawatan itu. Sementara mereka yang berbulu berwarna, terutama yang hitam legam dan pekat, hanya layak menjadi kuli batak di ladang itu.

Sarang putih itu amat digeruni oleh nenek moyang gagak hitam. Sarang agam itu bagaikan puaka yang selalu mengancam kehidupan dan ketenteraman mereka. Kuasa yang berada di sarang putih itu mencengkam kebebasan dan hak asasi mereka. Penghuni di sarang putih itu bagaikan Firaun yang menganggap dirinya Tuhan. Sudah cukup lama kegerunan itu melakar dan menglingkungi kehidupan gagak-gagak hitam di ladang itu. Sudah cukuplah segala seksa zahir dan batin yang ditanggung oleh keturunan gagak sejak berkurun-kurun lamanya.

Gak! Gak! Gak!

Oleh yang demikian, gagak hitam itu mahu mencipta satu perubahan. Dia mahu segala tradisi yang sudah lapuk dan tidak lagi boleh diterima di zaman serba canggih dan moden ini dirobah. Yang putih meskipun kelihatan bersih belum tentu suci. Yang hitam tidak semesti hitam juga di dalamnya kerana terbukti buah manggis di luarnya hitam tetapi di dalamnya putih.

Bangau putih yang mendiami sarang putih di atas bukit itu sama sahaja dengan gagak. Bangau ada paruh dia juga ada paruh. Bangau ada kaki, dia juga ada kaki, malah kukunya sangat tajam daripada bangau. Yang membezakan mereka cuma bulu bangau itu putih, gagak bulunya hitam. Leher bangau lebih panjang daripada leher gagak. Itu saja, selebihnya sama aja.

Sudah lama gagak hitam itu bercita-cita untuk mendiami sarang putih itu. Kerana di sarang putih itu terletaknya kuasa. Justeru itu, gagak hitam itu sudah bertekad suatu hari nanti akan bisa didiami oleh puak-puaknya. Perubahan inilah yang ingin dilakukannya.

Unggas

Sebagai gagak hitam dia bukan sahaja dilihat rendah malah hina oleh bangau putih. Apa lagi keturunannya hanya layak memakan bangkai. Sedangkan bangau putih memakan ikan segar dari sungai dan bendang. Maka dengan itu gagak hitam tidak layak bergaul dengan bangau putih. Jauh sekali untuk mendiami sarang putih yang menjadi kebanggaan bangau dan unggas di daerah itu.

Malah menghampiri sarang itu pun tidak diizinkan. Dia pernah diusir beberapa kali daripada mendekati sarang putih itu. Malah neneknya pernah bercerita, suatu ketika dulu ada seekor gagak yang keras kepala mahu memasuki kawasan bukit di mana sarang putih itu berada. Oleh kerana unggas yang berbulu putih sahaja yang boleh mengunjungi kawasan bukit sarang putih itu, maka gagak itu mendapat idea untuk memutihkan bulu hitamnya. Gagak itu menggunakan bedak siam untuk menyapu seluruh bulu hitamnya dengan bedak putih. Ramai gagak lain membantah kerana gagak tetap gagak, tidak mungkin menjadi bangau. Dengan menyapu warna putih di atas warna asal, tidak akan menukar identiti gagak. Gagak itu tetap keras kepala dan mahu rancangannya dilaksanakan segera.

Gak! Gak! Gak!

Gagak yang keras kepala itu terus terbang menuju bukit sarang putih itu dengan warna diputihkan di atas bulunya yang hitam. Dia disambut baik di kalangan bangau putih di atas bukit itu. Dia turut diajak makan bersama dengan bangau-bangau putih itu. Akan tetapi makanan ikan yang masih hidup bukan seleranya. Dia terkial-kial, malah mahu termuntah dek bau hanyir ikan hidup itu.

Tak semena-mena angin kuat bertiup di atas bukit itu. Angin itu menerbangkan bedak putih yang disapu di atas bulu hitamnya. Yang tadi putih segera menjadi hitam. Melihat keadaan itu dia segera diserang oleh bangau-bangau itu sehingga bulunya habis dicabut dan ditinggalkan togel. Oleh kerana sayapnya tidak berbulu lagi, maka dia pulang menggunakan paruhnya sehingga sampai di dalam masyarakat gagaknya.

Masyarakat gagak amat marah sekali dengan tindakan zalim bangau putih itu. Ini sudah keterlaluan. Meskipun mereka tidak merestui tindakan gagak keras kepala itu untuk menyapu bulu hitamnya dengan warna putih, tetapi mereka tidak menyetujui cara bangau itu mengambil tindakan di luar peri keunggasan para unggas. Ini satu penghinaan yang amat sangat bagi masyarakat gagak.

Semenjak dari peristiwa itu masyarakat gagak memulau untuk menghantar makanan kepada bangau putih di atas bukit itu. Segala ikan yang ditangkap dibiarkan mati sehingga menjadi bangkai yang kemudiannya dimakan oleh masyarakat gagak.

Gak! Gak! Gak!

Pemikiran kolot yang dianuti oleh bangau-bangau putih inilah yang mahu dirobahnya. Ketebalan fedualisme inilah yang harus dihapuskan dalam kehidupan unggas yang serba canggih dan moden ini. Ia memerlukan kepada perubahan secara berhemah dan berdiplomasi. Ia perlu kepada pendekatan yang boleh menyakinkan para unggas terutama bangau putih yang mendominasi bukit sarang putih itu. Tidak perlu menukar identiti, yang mustahak kembali kepada keyakinan dan jati diri.

Untuk itu senjata yang paling ampuh bagi merobah pemikiran kolot ini ialah ilmu. Justeru itu gagak hitam yang masih muda itu tidak jemu-jemu mendapatkan pelbagai ilmu baik dalam negeri mahupun luar negeri. Ilmu penerbangan, ilmu sains dan matematik, ilmu falsafah, ilmu ekonomi semua dipelajarinya. Hanya daya intelek yang kuat sahaja yang dapat menangkis kejumudan keintelektualan sesetengah pihak dalam mengemukakan teori mereka. Teori bahawa yang putih itu bersih, sudah tidak boleh diterima lagi. Justeru itu ia memerlukan ilmu untuk menyakinkan bahawa teori itu harus dirobah dan dipinda.

Usahanya untuk mendapatkan ilmu juga dikekang dengan pelbagai cara oleh tuan-tuan putihnya. Ramai masyarakat yang seketurunan dengannya tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Justeru itu, ramai di antaranya menjadi sampah masyarakat, merempat, dicengkam kemiskinan, menjadi perompak, pencopet dan kutu jalan. Apabila kemiskinan mendominasi kehidupan maka timbullah pelbagai gejala sosial. Apabila tak cukup makan, kena juga cari apa-apa makanan yang boleh dimakan untuk menyambung hidup, termasuk memakan bangkai. Itulah sebabnya gagak suka makan bangkai, kata nenek.

Pernah neneknya bercerita kepadanya betapa seksanya nenek moyangnya dulu ketika baru diambil berkerja di ladang itu. Mereka bukan datang secara sukarela untuk berkerja di situ, malah dipaksa dan diperdaya dengan pelbagai cara untuk memerah tenaga mereka di ladang itu. Bukan itu sahaja, keringat mereka tidak dibayar sesen pun. Mereka hanya diberi makan, itupun diambil daripada hasil tanaman mereka di situ sesudah diizinkan dengan mencatunya pula. Sesiapa yang berani melawan akan ditangkap, dirantai kaki mereka serta dikurung dalam sangkar besi. Tidak sesiapa dibenarkan bersuara atau membantah kerana mereka di situ hanya untuk berkerja bagi tuan mereka, tidak lebih daripada itu. Tekanan dan seksaan inilah telah merangsang semangat beberapa orang muda yang berani untuk membantah dan menyuarakan ketidaksenangnya mereka terhadap layanan tuan-tuan mereka.

Gak! Gak! Gak!

“Saya mimpikan suatu hari nanti kita akan menduduki sarang putih itu,” laung seekor gagak, pejuang hak asasi masyarakat gagak dengan lantang di hadapan ribuan masyarakatnya di suatu rapat. Kukunya mencengkam kuat di atas sebatang ranting seraya melibas-libaskan sayapnya.

Gemuruh

“Hari itu akan tiba juga, yakinlah!” jeritnya penuh yakin disahut dengan sorakan gemuruh ‘gak! gak! gak!’ masyarakat hitam yang sepanjang masa menjadi kuli di ladang itu.

“Mungkin 20 tahun! 50 tahun atau 100 tahun lagi,” terusnya menyakinkan masyarakatnya yang sudah hilang keyakinan diri. “Bukan saya, mungkin anak cucu atau cicit kita yang akan menduduki sarang bangau putih itu suatu hari nanti, Yakinlah” ‘gak! gak! gak!’ gema laungan melantun menyemarakkan lagi sorakan para masyarakatnya.

Atas sumpah itulah, gagak muda itu bertekad mahu mengotakan segala tekad datuk nenek mereka. Dia memulakan dengan kempen yang berslogan ‘perubahan,’ yang berkonsepkan bahawa masyarakat unggas sama sahaja tidak kira warna bulu. Justeru itu tidak ada unggas yang bertaraf pertama atau mulia atau yang bertaraf rendah atau hina. Semua unggas mesti bersatu padu dan membina ekonomi masyarakat unggas di daerah itu. Kempennya mendapat sambutan pelbagai spesies unggas di daerah itu. Spesies bangau juga ada yang menyokong konsep dan perjuangan baru gagak muda itu.

Kempen gagak muda dicabar oleh bangau tua yang melebihi umur pencen. Alasan bangau tua, gagak hitam muda itu tidak ada pengalaman mentadbir ladang yang luas itu. Hidupnya baru setahun jagung, hingusnya masih meleleh. Dia tidak tahu hal ekonomi. Dia tidak faham hal hubungan diplomatik dengan para unggas di benua lain. Dia tidak layak menjadi penghuni di sarang putih yang mulia itu. Bangau tua itu mahu mempertahankan tradisi bahawa penghuni sarang putih itu mestilah dari kalangan masyarakat bangau juga.

Gak! Gak! Gak!

Gagak hitam muda itu menerima cabaran itu penuh iltizam. Dia menjadikan cabaran itu sebagai daya penggerak untuknya terus berjuang. Dia tidak mungkin mundur hanya kerana kata-kata yang menjatuhkan kredibilitinya. Dia mesti bangun untuk membuktikan kredibilitinya dan untuk menyanggah teori ‘yang putih itu bersih’ sudah tidak relevan lagi dalam masyarakat maya yang serba maju ini.

Untuk itu dia mencadangkan diadakan debat di antara gagak hitam dengan bangau putih. Dia tidak sangka bangau tua itu sudi menerima cabarannya itu. Maka berlangsunglah debat perdana dan dipancarkan ke seluruh buana dengan disaksikan jutaan masyarakat unggas. Bangau tua yang bukan sahaja putih sayapnya malah kepalanya, keningnya juga turut berwarna putih melangkah longlai di atas pentas. Sesekali suara seraknya tersekat-sekat menyampaikan hujahnya. Kadangkala dirinya tidak stabil, kelihatan bergoyang-goyang bagaikan ditiup angin.

Gagak hitam muda itu menaiki pentas penuh yakin dan bergaya. Dia berdiri di hadapan mikrofon dengan semangat yang berkobar-kobar. Sambil tersenyum menampakkan susunan giginya yang panjang-panjang. Dia berhujah dengan penuh keyakinan. Hujahnya bernas dan mendapat tepukan bergemuruh dari semua spesies unggas termasuk bangau. Hujahnya dapat mempengaruhi sebahagian masyarakat bangau untuk menyokong misi dan visi yang dibawanya.

Selepas diadakan pemilihan suara untuk memilih siapakah antara kedua-dua spesies itu yang layak menduduki sarang putih di atas bukit itu, maka gagak hitam muda telah mendapat undian suara yang terbanyak. Malah sebahagian besar undi yang diterimanya ialah daripada bangau-bangau putih yang sebelum ini bersikap totok yang hanya memandang mulia kepada bangau-bangau putih sahaja. Gagak hitam muda itu berjaya membawa perubahan pemikiran di kalangan spesies unggas termasuk bangau putih yang taksub dengan pemikiran jumud mereka. Dengan peristiwa besar itu, maka langkahnya menuju ke sarang putih di atas bukit itu menjadi mudah. Sebelum itu laluan itu penuh dengan semak samun, onak dan duri. Dia berjaya mencantas segala halangan itu untuk menuju ke sarang putih yang penuh dengan kekuasaan itu. Dia telah mencipta sejarah di mayapada ini dengan menduduki sarang yang berwarna putih itu yang dulunya hanya layak dan dikhaskan untuk spesies bangau putih sahaja.

‘Gak! Gak! Gak!’

Dan dia sedang bercadang-cadang mahu mewarnakan semula sarang putih itu dengan dua warna, iaitu hitam dan putih. Warna hitam di sebelah bawah sebagai lambang gagak hitam yang menjadi paksi mendukung sarang itu. Manakala warna putih di sebelah atas, sebagai menghormati pengasas sarang itu iaitu spesies bangau yang berwarna putih bulunya.

Gagak hitam itu berjaya mencatat sejarah menduduki sarang bangau putih itu tanpa memutihkan bulunya yang berwarna hitam.

‘Gak! Gak! Gak!’

 

petikan dari : http://www.utusan.com.my

Posted by: kelantaniah | November 14, 2009

Rawatan awal perlu

Oleh ZUHAYATI YAZID

Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.



 

MATA ialah organ deria yang membolehkan manusia melihat dan menikmati keindahan alam. Kebolehan untuk melihat pula merupakan suatu proses yang agak kompleks yang terdiri daripada beberapa peringkat dalam ‘Proses Penglihatan’.

Proses ini bermula dari rangsangan fizikal yang sampai ke mata hinggalah akhirnya imej yang dilihat diterjemahkan oleh otak.

Namun tahukah kita bahawa 90 peratus daripada masalah mata adalah masalah gangguan fungsi penglihatan manakala 10 peratus lagi adalah disebabkan oleh penyakit mata.

Bagi kanak-kanak, pengesanan masalah gangguan fungsi penglihatan cukup penting kerana pada ketika inilah sistem penglihatan sedang berkembang dan sebarang gangguan akan menimbulkan masalah lain yang lebih serius.

Rawatan awal dan komitmen ibu bapa penting bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan berupaya melihat kembali dengan baik dan jelas.

Pensyarah Kanan Jabatan Optometris, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rokiah Omar berkata, perkara ini penting bagi mengawal keadaan menjadi lebih serius.

Katanya, bagi memastikan seseorang itu mempunyai bacaan optimum, mereka semestinya mempunyai tahap penglihatan 6/6 pada kedua-dua belah mata mereka.

”Kanak-kanak yang mempunyai tahap penglihatan 6/9 atau kurang dikategorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan.

”Manakala mereka yang mempunyai tahap penglihatan kurang dari 6/18 pula dikategorikan sebagai penglihatan yang terhad,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Rokiah, kanak-kanak bermasalah penglihatan biasanya sukar atau tidak dapat melakukan tugasan seperti membaca atau menulis tanpa menggunakan alat bantuan khas.

Oleh itu tegasnya, mereka ini memerlukan alat bantuan yang boleh memperbaiki tahap penglihatan mereka, contohnya, melalui cermin mata, teleskop, cermin mata berkuasa tinggi, kanta pembesar berdiri, dirian membaca, cetakan besar dan juga visor.

Jelasnya lagi , penyakit kongenital dan keturunan merupakan penyebab utama berlaku penglihatan terhad.

Malah sekiranya seseorang bayi mendapat katarak kerana jangkitan kuman ketika dalam kandungan, ia akan menghalang cahaya dari terfokus ke retina dan sistem penglihatan bayi tidak akan berkembang atau mencapai ketajaman penglihatannya tahap 6/6 menjelang umur empat tahun.

Perkembangan ketajaman penglihatan yang tidak mencapai tahap 6/6 dinamakan “amblyopia” atau mata malas.

”Keadaan ini terjadi di mana ketajaman penglihatan tidak mencapai tahap 6/6 dengan preskripsi cermin mata terbaik tanpa ada sebab-sebab patologi lain.

“Kecacatan refraksi menjadikan kanak-kanak rabun dan penyebab utama berlakunya amblyopia. Ini terjadi kerana pembiasan cahaya pada mata kanak-kanak yang rabun tidak terfokus pada retina dan seterusnya tidak merangsang perkembangan sistem penglihatan.

“Justeru itu, pembetulan kerabunan perlu dibuat secepat mungkin agar amblyopia tidak berlaku,” jelasnya.

Selain itu, menurut Dr. Rokiah, kejulingan juga menjadi faktor penting terjadinya mata malas. Kejulingan menyebabkan paksi penglihatan berubah dan cahaya tidak terfokus pada fovea iaitu titik peka pada retina dan boleh juga menyebabkan amblyopia.

Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.

Bagi kanak-kanak yang kelihatan normal pada mata kasar, pemeriksaan pertama terhadap kesihatan mata harus dilakukan ketika berumur empat tahun.

”Ujian menyeluruh terhadap mata juga perlu dilakukan bagi menilai tahap kesihatan mata,” katanya serius.

Malah akuinya, ramai antara kita tidak mengetahui bahawa kejulingan pada kanak-kanak boleh terjadi akibat rabun terutamanya kerabunan yang berlaku sebelum kanak-kanak berumur empat tahun.

Jelasnya, tahap kerabunan antara kedua-dua mata tidak sama, mata yang lebih rabun berkemungkinan besar akan juling. Ini kerana imej kabur dari mata tersebut tidak akan ditafsirkan oleh otak dan akibatnya mata tersebut tidak akan menumpu pada objek yang hendak dilihat.

Sistem penglihatan pada mata yang lebih rabun itu tidak akan berkembang dan akan menjadi amblyopia sekiranya tidak dibetulkan dari awal. Selalunya rabun jauh pada kanak-kanak akan menyebabkan juling keluar (exotropia) manakala rabun dekat akan menyebabkan juling ke dalam (esotropia).

Dalam pada itu, katanya, terdapat satu kajian membuktikan bahawa penyebab utama penglihatan terhad di kalangan rakyat Malaysia ialah kesalahan refaktif yang tidak diperbetulkan dan katarak

Tegasnya, tahap penglihatan dekat kanak-kanak dapat diperbaiki dengan menggunakan kanta pembesar, cermin mata berkuasa tinggi, cermin mata dekat dan bifokal.

”Ini semua akan membolehkan kanak-kanak tersebut membaca dengan kadar yang yang lebih pantas dan akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi.

”Pemeriksaan penglihatan yang lengkap juga mampu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak berpenglihatan terhad untuk melakukan tugas harian mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, optometris di Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih positif untuk membantu menangani masalah gangguan penglihatan di kalangan kanak-kanak.

Analisis kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak berpenglihatan terhad lebih suka menggunakan kanta pembesar untuk kerja dekat berbanding cermin mata berkuasa tinggi.

Selain itu, keputusan kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan memerlukan lebih daripada satu alat bantuan untuk membantu mereka dalam tugasan sebagai pelajar.

”Ini adalah kerana setiap alat yang dicadangkan hanya sesuai untuk tugasan tertentu sahaja, contohnya, semasa membaca mereka memerlukan kanta berbanding semasa membuat aktiviti lain yang memerlukan mereka menggunakan alat bantuan yang lain,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, alat bukan optikal juga boleh membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan mengatasi masalah ketika membaca antaranya melalui kaedah pembesaran relatif magnifikasi.

Oleh itu, tegasnya, pengesanan awal mengenai masalah penglihatan di kalangan anak-anak adalah penting.

Malah boleh mendapatkan rawatan atau membuat temujanji terus ke:

Klinik Penglihatan Terhad, Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, 50300 Kuala Lumpur. (03-92897499 atau 03-92897000 samb. 7499).

 

Petikan ini dari : http://www.utusan.com.my

Posted by: kelantaniah | November 13, 2009

Membudayakan amalan membaca

Oleh ZUHAYATI YAZID

aktiviti menguji minda turut diadakan bagi melahirkan generasi kreatif.



 

REALITINYA pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan masyarakat membaca.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Raslin Abu Bakar berkata, adalah penting dalam melahirkan lebih ramai generasi muda yang sukakan membaca dan menjadikan amalan itu sebagai satu budaya agar tidak ketinggalan dalam perlumbaan teknologi yang semakin sengit.

”Ini kerana masyarakat yang komited terhadap amalan membaca dan menguasai ilmu akan terus maju dan gemilang,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 1Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Raslin, untuk membudayakan amalan membaca , semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasi ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian.

Menjadi contoh

“Budaya membaca yang aktif mampu memberikan pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian seperti penjanaan idea, kemahiran berfikir dan berkomunikasi.

”Malah sebagai ibu bapa sendiri, kita harus menjadikan contoh utama kepada anak-anak dalam membudayakan amalan membaca di rumah.

”Tanpa perlu menuding jari ke arah pihak lain, kita sendiri seharusnya menjadi contoh dalam merealisasikan budaya membaca kepada anak-anak,” tegasnya.

Ujarnya, selain berperanan sebagai guru pertama bagi setiap individu yang lahir ke dunia, ibu bapa juga memang dipertanggungjawabkan untuk membimbing dan mendidik zuriat yang dilahirkan dengan sebaik-baiknya.

Tidak dinafikan ada ibu bapa yang terlupa menyedarkan anak-anak peri pentingnya ilmu kerana ibu bapa itu juga tidak berilmu.

Tuntutan hidup juga sering kali menyukarkan ibu bapa menunjukkan teladan ilmu dan kesannya kepada anak-anak.

Bagaimanapun katanya, tidak ada ibu bapa di dunia ini yang menginginkan anak mereka bagaikan tiada tempias pun kepada masyarakat dan negara.

“Sekurang-kurangnya, jadilah orang yang berguna kepada diri sendiri kalau pun tidak pada keluarga.

“Doa dan harapan ibu bapa silih berganti, tetapi yang tidak tertunai ialah fenomena ilmu dalam sesebuah keluarga.

“Bayangkan jika anak tidak pernah melihat ibu bapa membaca walau sekalipun! Bagaimana anak-anak hendak merasakan budaya membaca di rumah sekiranya tanda-tanda begitu pun tidak berlaku langsung?” jelasnya.

Oleh itu, katanya, mulakan dari sekarang, jadilah diri sebagai contoh untuk menjadikan anak-anak juga berminat untuk membaca sekali gus melahirkan generasi yang maju dan berjaya.

Menurut Raslin, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari bahawa kerajaan akan melaksanakan langkah lebih agresif bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai ‘Negara Pembaca’.

‘Negara Pembaca’ bukan sahaja untuk melihat semua orang membaca di mana-mana tetapi juga merujuk kepada masyarakat Malaysia yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan, mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru.

Langkah ini sememangnya akan membolehkan rakyat Malaysia menyertai penduduk negara maju lain yang menjadikan membaca sebagai satu tabiat dan budaya hidup.

Tambahnya lagi, negara Jepun misalnya sudah lama menjadikan pembacaan sebagai salah satu aktiviti tetap dalam kehidupan seharian. Budaya itu berterusan kerana setiap rakyatnya melihat semua orang melakukannya.

Secara tidak langsung ia menjadi ikutan kepada generasi yang baru.

Sempena sambutan Hari Kanak-kanak 1Malaysia itu kira-kira 500 kanak-kanak dari pelbagai kaum melakukan acara ‘membaca secara senyap’ selama lima minit di perkarangan Perpustakaan Negara.

Majlis bertemakan Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan kanak-kanak berkaitan keseronokan membaca seterusnya memupuk tabiat itu sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu dan berfikiran kreatif.

“Konsep pembelajaran sepanjang hayat harus disemai dalam setiap sanubari rakyat negara ini, ia adalah sesuatu yang murni.

“Kita seharusnya membudayakan amalan membaca bagi merealisasikan konsep ini dan seterusnya membantu melahirkan masyarakat Malaysia berminda kelas pertama,” katanya.

Usaha membudayakan aktiviti membaca di kalangan generasi muda merupakan titik tolak dalam membentuk masyarakat berpengetahuan yang dapat menyumbang kemahiran dan kepakaran kepada pembangunan sesebuah negara.

 

Petikan dari : http://www.utusan.com.my

Posted by: kelantaniah | November 11, 2009

Membongkar kebolehan dwibahasa

Susunan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Dengan menggunakan permainan menyeronokkan, otak bayi akan cepat memproses dan menerapkan bahasa.



 

WAKTU paling sesuai untuk belajar bahasa asing adalah pada usia selepas lahir hingga tujuh tahun. Penyelidikan baru mendapati otak kanak-kanak boleh menjadi dwibahasa dengan mudah pada usia sedemikian.

Penyelidik University of Washington, Amerika Syarikat (AS), Dr. Patricia Kuhl berpendapat, magis pada kanak-kanak dalam menguasai dwibahasa ini boleh digunakan dalam program pembelajaran untuk orang dewasa.

Beliau yang juga merupakan sebahagian daripada ahli pasukan antarabangsa yang dipertanggungjawabkan bagi mengaplikasikan kaedah tersebut kepada teknologi yang boleh diajar memberitahu, setiap bahasa mempunyai set bunyi yang unik.

Bayi dilahirkan dengan kebolehan untuk mengenali semuanya, bagaimanapun kebolehan itu menjadi lemah sebelum bayi mula berkata-kata biasanya menjelang ulang tahun pertamanya.

Kuhl memberi contoh, orang Jepun tidak dapat membezakan bunyi huruf ‘L’ dan ‘R’ dalam bahasa Inggeris.

Pasukan penyelidiknya membuktikan bayi berusia tujuh bulan di Tokyo, Jepun dan kanak-kanak seusianya di Seattle, AS memberi respons sama kepada kedua-dua bunyi berbeza itu. Tetapi pada usia 11 bulan, bayi berbangsa Jepun berkenaan telah hilang kebolehan itu.

Beliau turut membuat ujian bagaimana otak bayi dapat mengesan dan menerapkan sesuatu bahasa dengan renungan mata. Caranya dengan menggunakan permainan menyeronokkan, bayi berkenaan cepat-cepat melihat pada kiri atau kanan apabila mendengar bunyi tersebut.

Satu lagi hasil penyelidikan Kuhl mendapati, penguasaan bahasa dominan boleh menjejaskan pembelajaran bahasa baru yang jarang digunakan. Ini kerana otak menolak bunyi yang tidak sepadan atau biasa baginya.

“Pada ketika ini, sebenarnya reka bentuk otak sedang dibentuk supaya sepadan dengan bahasa asal kelahiran sama ada Jepun, Inggeris atau Perancis,” jelas Kuhl.

Beliau menambah, bagi sesetengah bayi yang bertuah mungkin mempunyai otak dengan dua set litar saraf yang dikhaskan untuk dua bahasa.

Cara terbaik bagi menggalakkan bayi menguasai dwibahasa dalam tempoh yang singkat adalah dengan berinteraksi dengan mereka dalam dua bahasa.

“Selain itu cari kumpulan bermain atau penjaga yang mahir berbahasa asing agar anak anda dapat mendengar bahasa itu secara kerap.

“Anda pasti terkejut, anak-anak menyerap bahasa asing seperti span.

“Ini kerana, secara purata, bayi ekabahasa dan dwibahasa mula bercakap seawal usia satu tahun dan boleh mengeluarkan 50 perkataan menjelang usia 18 bulan,” ujarnya.

Menurut Kuhl, bahasa baru pula paling mudah dipelajari pada usia tujuh tahun tetapi kebolehan itu menjadi berkurangan selepas akil baligh.

“Kami melihat otak sebagai ‘plastik’ dan bersedia mencipta litar baru sebelum akil baligh. Manakala bagi golongan dewasa, proses pembelajaran bahasa berbeza sama sekali.

“Anda tidak akan belajar dengan kaedah yang sama dan penguasaan bahasa baru itu tidak akan sebaik bahasa kelahiran,” katanya.

Satu lagi kajian dari Pusat Linguistik Gunaan mendapati, sekolah rendah di AS mengurangkan aktiviti bahasa asing sejak sedekad lalu.

Dianggarkan suku daripada jumlah sekolah rendah awam menyediakan pengajian bahasa asing pada tahun 1997 tetapi jumlah itu menurun kepada hanya 15 peratus tahun lalu.

Jadi, apakah yang membantu golongan yang terlepas peluang untuk belajar bahasa asing ketika kanak-kanak?

Justeru itu, Kuhl dan beberapa saintis di Tokyo Denki University, Jepun dan University of Minnesota, AS membantu membangunkan program bahasa komputer agar lebih merangsang litar otak seperti bayi.

Mereka telah membuat kajian ke atas pelajar kolej Jepun yang mempunyai pendedahan sedikit kepada bahasa Inggeris. Pelajar itu perlu menjalani 12 sesi mendengar perbezaan sebutan ‘L’ dan ‘R’ sambil menonton sebutan perkataan bahasa Inggeris.

Pengesan otak iaitu alat berbentuk seperti pengering rambut dipanggil MEG atau magnetoencephalography yang mengukur milisaat tahap keupayaan pelajar berkenaan digunakan semasa membezakan bunyi Inggeris tersebut.

Akhirnya, kumpulan pelajar berkenaan menyebut dua huruf itu dengan lebih baik. Kaedah ini akan digunakan bagi membantu golongan dewasa yang tidak menguasai dwibahasa semasa kanak-kanak.

Sementara itu, Penyelidik Sekolah Antarabangsa Itali, Pengajian Lanjut, Agnes Melinda Kovacs melaporkan dalam jurnal Sains Julai lalu bahawa menguasai dwibahasa menjadikan otak lebih fleksibel.

Kovacs telah menguji seramai 44 bayi berusia 12 bulan untuk melihat bagaimana mereka mengenali paten tiga suku kata – perkataan merapu bagi menguji pembelajaran bunyi.

Pengesan mendapati bayi dwibahasa belajar dua jenis corak pada masa sama menyebut ‘lo-ba-lo’ atau ‘lo-lo-ba’ – manakala bayi ekabahasa hanya belajar satu corak sahaja.

Justeru itu, bagi bayi ekabahasa, tanpa sebarang dorongan dan sokongan, maka otak mereka kurang fleksibel.

 

Petikan dari ;  http://www.utusan.com.my

Posted by: kelantaniah | November 10, 2009

Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih

10/11/2009 10:25am

KOTA BHARU 10 Nov. — Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih berikutan hanya hujan renyai-renyai serta cuaca panas di negeri ini dengan 3,643 mangsa masih ditempatkan di 15 pusat pemindahan banjir di dua jajahan iaitu di Pasir Mas dan Tumpat berbanding 4,000 orang semalam. Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri (PKOBN), Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, di Pasir Mas seramai 2,281 orang ditempatkan di 12 pusat pemindahan banjir membabitkan 622 keluarga dan di Tumpat seramai 1,362 orang di tiga pusat pemindahan membabitkan 406 keluarga. “Daerah-daerah lain sudah kembali pulih,” katanya. Katanya, jalan-jalan yang ditutup ialah Jalan Rantau Panjang lama di Kampung Siram yang ditutup kepada semua lalu lintas dan di Kampung Meranti, juga di Pasir Mas, hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja. Di Tumpat, Jalan Kasban masih ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sehingga satu meter. Tempat menyukat banjir di Kampung Jenob di Sungai Golok masih menunjukkan paras bahaya iaitu sedalam 20.16 meter manakala di Rantau Panjang sedalam 9.22 meter di mana paras bahaya adalah sembilan meter. Sehingga kini belum ada korban mangsa banjir dilaporkan dalam bencana itu. – Bernama

Artikel ini dipetik dari : http://www.utusan.com.my

Posted by: kelantaniah | September 15, 2009

Fadilat puasa bagi kesihatan

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Para ilmuwan menganggap berpuasa sebagai fenomena yang penting dan semula jadi, di mana kehidupan yang sempurna dan kesihatan yang baik tidak dapat diperoleh tanpa berpuasa. Apabila seseorang atau bahkan seekor haiwan tidak berpuasa, maka ia akan terjangkit berbagai macam penyakit.

McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: “Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya.

“Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik”.

Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:

lMerehatkan tubuh dan memperbaiki saraf.

lMenyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.

lMemperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.

lMengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.

lMengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit.

lMengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.

lMenguatkan indera dan meningkatkan IQ.

lMemperelok dan membersihkan kulit.

Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: “Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh.

“Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit.

“Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita”.

Allah berfirman yang bermaksud: Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. (al-Baqarah: 185).

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: “Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya”.

Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.

Dreanik dan kawan-kawannya, pada tahun 1964, mencatat sejumlah penyakit komplikasi kritis akibat berpuasa lebih dari 31 hari.

Di sini nampak jelas mukjizat Nabi SAW dalam larangan berpuasa bersambung (tidak termasuk puasa sunat Syawal).

Di samping itu, penelitian ilmiah membuktikan kepentingan makan sahur dan berbuka adalah untuk membekalkan tubuh dengan zat asam lemak dan amino, tanpa kedua zat ini, lemak dalam tubuh kita akan terurai dalam jumlah besar, sehingga mengakibatkan sirosis pada hati, dan menimbulkan berbagai bahaya besar bagi tubuh.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku akan tetap dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan makan sahur.” (riwayat Ahmad)

Mengenai bersahur (makan sahur), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bersahurlah kamu sekalian, kerana bersahur itu ada keberkatannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Waktu bersahur itu selepas pertengahan malam sampai menjelang terbit fajar (waktu Subuh).

Menyegerakan berbuka, iaitu setelah mengetahui waktu Maghrib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia sentiasa dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdoa sewaktu berbuka dan sepanjang melaksanakan puasa. Dari Abdullah bin Amr bin As r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang sedang berpuasa, saat berbuka doanya tidak ditolak”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga doa yang tidak akan ditolak Allah, orang yang berpuasa sampai ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang teraniaya”. (riwayat Tirmizi).

Adapun doa saat berbuka yang bermaksud: “Telah hilang haus dan telah basah tenggorakan, dan telah tetap pahala insya-Allah”. (riwayat Tirmizi).

Posted by: kelantaniah | September 12, 2009

Jantina Kura-kura

Jantina kura-kura boleh dikenalpasti berdasarkan bunyi yang dihasilkan. Kura-kura jantan mengeluarkan bunyi garau sementara betina menghasilkan bunyi berdesir.


Posted by: kelantaniah | September 11, 2009

Pengorbanan Si Ibu

Terdapat banyak spesies labah-labah yang sanggup mengorbankan tangan dan kaki untuk dimakan anak-anaknya yang baru menetas. Langkah ini adalah utk mengelakkan anak-anaknya itu daripada memakan sesama sendiri.

Posted by: kelantaniah | September 10, 2009

Tekanan jantung

Tekanan jantung manusia semasa mengepam darah adalah cukup kuat sehinggakan setiap pancutan boleh memancutkan darah sejauh 9 meter.

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Kategori